Bermula pada tahun 1957 apabila Allahyarham Encik
Atan bin Tendut memberikan sebidang tanah seluas satu ekar bertujuan
untuk membina sekolah. Pembinaan sekolah ini telah diusahakan oleh
sebuah Jawatankuasa Penubuhan sekolah dengan dipengerusikan oleh Encik
Jaafar bin Haji Ali, Ketua Kampung Pok Besar ketika itu. Maka dengan
ini, tertubuhlah sebuah sekolah yang diberi nama ‘Sekolah Kebangsaan
Kenangan Murni Pok’. Nama sekolah ini adalah mengambil sempena daripada
hasrat penduduk Kampung Pok ini yang telah mendirikan sekolah ini dengan
cara bergotong-royong dengan perasaan yang suci murni dan sekolah ini
juga menjadi kenang-kenangan warisan penduduk Kampung Pok di masa
hadapan. Sekolah ini juga merupakan untuk faedah penduduk Kampung Pok
khasnya.
Untuk mendirikan Sekolah Kebangsaan Kenangan Murni Pok ini, semua
penduduk Kampung Pok bermurah hati menderma dan wang yang dapat
disumbangkan ialah sebanyak RM 1,200.00 dan daripada wang itulah telah
dapat didirikan sebuah sekolah yang bertaraf sekolah rakyat.Sekolah Kebangsaan Kenangan Murni Pok didirikan di
atas sebidang tanah yang luasnya kira-kira satu ekar yang telah
dihadiahkan oleh Encik Atan bin Tendut (telah meninggal dunia). Beliau
adalah bekas Ketua Kampung Pok Kecil.
Penduduk Kampung Pok Kecil, Pok Besar dan Paya
Mengkuang, didapati mempunyai ramai anak-anak yang bersekolah. Anak-anak
mereka terpaksa bersekolah di Kampung Tanjung Adang. Perjalanan dari
Kampung Pok ke Tanjung Adang amatlah sukar. Oleh yang demikian penduduk
Kampung Pok ini berhasrat untuk mendirikan sebuah sekolah sendiri.
Sekolah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada anak-anak penduduk
kampung ini. Di samping itu, ketika itu masih ada lagi kesan-kesan
darurat. Oleh itu bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka, sebuah
sekolah perlu didirikan di kampung ini.
Kira-kira pada awal September 1957, Jawatankuasa
Pembinaan Sekolah bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong
membersihkan tapak bangunan sekolah. Pokok-pokok getah ditebang, mereka
mengambil bahan-bahan tempatan seperti kayu-kayu hutan dan daun nipah
untuk mendirikan sebuah sekolah. Bentuk sekolah ini bertiangkan kayu
bulat, berdindingkan papan dan beratapkan nipah serta berlantaikan
simen. Panjangnya kira-kira 60 x 20 kaki dan telah siap pada akhir bulan
September 1957.
Sekolah ini telah dibuat oleh tukang-tukang
tempatan seperti Tuan Haji Salleh bin Ahmad, Encik Abbas bin Pengawah
dan Encik Bargong bin Sarmon.Sekolah ini telah diluluskan oleh Pejabat
Pelajaran Johor Bahru dalam bulan Januari 1958 dan permulaan sekolah ini
dibuka pada bulan Februari 1958. Ia mula beroperasi pada 8 Februari
1958 dengan bilangan muridnya seramai 58 orang di dalam 2 kelas iaitu
kelas satu dan kelas dua, guru yang bertugas pada mulanya hanya seorang
sahaja iaitu Cikgu Mohd. Said bin Abdul Hamid dan kemudiannya
ditambahkan dengan beberapa orang guru lagi.
Satu perubahan berlaku, iaitu pada awal tahun 1960,
Jabatan Kebajikan Masyarakat Persekutuan Tanah Melayu melalui wakil
rakyat Parlimen Y.B. Dato’ Sulaiman bin Haji Abdul Rahman telah
meluluskan peruntukan sebanyak RM 3,000.00 untuk mendirikan bangunan
baru bagi menggantikan bangunan lama. Bangunan ini berukuran 100’ x 20’.
Bangunan ini berdindingkan papan dan beratapkan zink.Guru Besar pada
masa itu ialah Encik Mohammad Amin bin Idris. Pada masa tahun 60an,
murid sekolah itu telah bertambah daripada asalnya 58 orang kepada lebih
daripada 120 orang murid.
Kemudian, bantuan yang tidak pernah putus itu datang sekali lagi pada tahun 1969. Kali ini melibatkan Kementerian Pelajaran melalui Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM 84,000.00 dan dengan wang peruntukan tersebutlah didirikan sebuah bangunan baru 2 tingkat dan bangunan inilah yang terdiri sehingga kini. Dengan adanya bangunan baru ini, ia dapat menampung lagi murid-murid dari masa ke semasa. Walaupun telah ada bangunan ini tetapi masih ada kekurangannya dan pada tahun 1983 sekali lagi melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah memberikan peruntukan wang sebnayak RM 120,000.00 untuk mendirikan sebuah bangunan tambahan iaitu bangunan kantin sekolah ini.
Dalam tahun 1989 pula, sekolah ini mendapat
bangunan dari projek baru iaitu sebuah bangunan Pusat Sumber berjumlah
lebih kurang RM 80,000.00 dan sebuah bangunan lagi mengandungi 4 bilik
darjah dalam skim projek gotong-rotong dengan peruntukkannya sebanyak RM
50,000.00. Kedua-dua projek ini bermula dalam bulan Ogos 1989.
Sekolah ini nampaknya
kecil tetapi ia telah melahirkan beberapa orang pelajar yang berjaya ke
pusat-pusat pengajian tinggi (Universiti) yang menjadi kebanggaan kepada
gur-guru dan penduduk-penduduk kampung ini dan menjadi sumber inspirasi
kepada pelajar-pelajar di sekolah ini di masa akan datang.
Guru-guru SKMP 2010
Guru-guru SKMP 2011
Guru-guru SKMP 2012
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan